klik kalau berani... PASTIKAN ANDA 18 TAHUN KE ATAS..

Wednesday, September 9, 2009

Tokoh Fizik: Albert Einstein

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.


Albert EinsteinAlbert Einstein (14 Mac 1879 – 18 April, 1955) adalah seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang telah dipandang sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Beliau mengemukakan teori kerelatifan dan membuat banyak sumbangan utama kepada perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905 serta "khidmatnya kepada Fizik Teori".

Selepas teori relatif amnya dirumus pada November 1915, Einstein mencapai kemashyuran di seluruh dunia. Dalam budaya pop, namanya sering disinonimkan dengan kecerdasan.

Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Ulm di selatan negera Jerman anak kepada Hermann Einstein dan Pauline, Einstein dibesarkan di Munich. Walaupun beragama Yahudi, keluarganya tidak mengamalkan agama. Einstein tidak berupaya bertutur sehingga berumur tiga tahun. Menurut teori terbaru tentang perkembangan mentalnya, beliau dianggap menghidapi sindrom Asperger, sejenis penyakit yang berkaitan dengan autisme.

Pada tahun 1894, keluarga Einstein berpindah ke Milan selepas kegagalan perniagaan elektrokimia ayahandanya. Einstein dihantar oleh ibubapanya ke Switzerland untuk menghabiskan pendidikan menengah selepas kegagalannya dalam peperiksaan kemasukan "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenössische Technische Hochschule) di Zurich disebabkan kegagalannya bahagian sastera walaupun beliau sungguh kukuh dalam bahagian sains dan matematik. Pada 1896, Einstein menyerahkan kerakyatan Jermannya untuk mengelakkan pengerahan tentera dan menjadi seorang yang tidak bernegara.

Selepas menghabiskan pendidikan menengahnya, Einstein memasuki Institut Politeknik Zurich selama empat tahun untuk mengambil pengajian perguruan bagi mengajar sains di sekolah menengah. Walaupun cerdik, beliau bukan merupakan seorang penuntut yang luar biasa. Pada tahun 1900, Einstein mencapai diploma perguruannya dan diterima sebagai rakyat Switzerland pada 1901.

Pada 1902, seorang anak perempuan telah dilahirkannya diluar nikah selepas Einstein jatuh hati pada Mileva Mariv, seorang penuntut kolejnya yang berbangsa Hungary. Beliau tidak pernah melihat anaknya yang diserah untuk dijadikan anak angkat. Dua tahun kemudian, mereka berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki, iaitu Hans dan Eduard Albert. Hans menjadi seorang profesor dalam kejuruteraan hidraulik di Universiti California, Berkeley, sedangkan Eduard menghidapi skizofrenia dan kemudian maut di rumah sakit otak.

Pada tahun 1905, Einstein mencapai ijazah kedoktorannya selepas penyerahan tesisnya, "Cara baru untuk menentu dimensi molekul" ("Eine neue Bestimmung der Moleküldimensionen").

Einstein bercerai dengan Mileva pada 1919 dan berkahwin dengan Elsa Löwenthal, saudari sepupunya yang berumur tiga tahun lebih daripada Einstein. Elsa telah menjaganya sewaktu beliau menghidapi penyakit patah jiwa serta penyakit perut yang amat teruk. Mereka tidak mempunyai sebarang anak daripada perkahwinan ini.

Einstein maut pada pukul 1.15 pagi, 18 April 1955 di Hospital Princeton di New Jersey. Mayat beliau dibakar pada hari yang sama tanpa sebarang adat-istiadat di Trenton, New Jersey mengikut hasratnya. Abu mayatnya disebar di lokasi yang tidak dapat dipastikan.

Dr. Thomas Stoltz Harvey, ahli patologi yang melaksanakan autopsi Einstein, telah mengawet otaknya. Walau bagaimanapun, Harvey tidak mendapati sebarang yang luar biasa mengenai otak Einstein, akan tetapi pada 1999, analisis lanjutan oleh sepasukan di Universiti McMaster mendedahkan bahawa otak Einstein tidak mempunyai bahagian operkulum parietal. Sebagai ganti, lobus parietal inferiornya lebih lebar sebanyak 15% daripada yang biasa. (Bahagian parietal inferior bertanggung jawab kepada pemikiran matematik, kognisi visuospatial, dan imejan pergerakan.) Otak Einstein juga didapati mengandungi 73% lebih banyak sel glia daripada otak yang biasa.



Kerjaya
Selepas memperolehi ijazahnya, Einstein tidak dapat menjadi guru kerana kekasarannya telah menjengkelkan kebanyakan daripada profesornya. Walau bagaimanapun, ayahanda seorang rakan sedarjahnya menolongnya mendapat pekerjaan sebagai penolong pemeriksa teknik (kelas ketiga) di sebuah Pejabat Paten Switzerland pada tahun 1902. Di sini, Einstein bertugas selama tujuh tahun.


Kertas kerja Annus Mirabilis
Pada tahun 1905, Einstein menyerahkan empat kertas kerja yang kini dikenali sebagai "Kertas kerja Annus Mirabilis" kepada Annalen der Physik, sebuah jurnal Jerman. Siri ini yang dikarang tanpa karya ilimiah untuk rujukan telah diiktirafkan sebagai penyediaan asas fizik moden. Tiga rencana daripada siri ini telah diiktirafkan sebagai yang teragung dalam sejarah fizik, yakni kertas-kertas kerja yang mengenai kesan fotoelektrik, pergerakan Brown dan teori relatif khas. Kertas kerja yang berkenaan dengan fotoelektrik menerangkan sikap cahaya (dan yang membolehkan rekaan televisyen) telah memangi Hadiah Nobel pada tahun 1921.


Jawatan profesor
Pada tahun 1906, Einstein telah dinaik pangkat menjadi pemeriksa teknik kelas kedua dan pada tahun 1908, beliau diperlesenkan di Berne, Switzerland, sebagai guru tanpa bergaji di universiti (privatdozent). Einstein menjadi profesor madya di Universiti Zurich pada tahun 1911, dan tidak lama kemudian, beliau menjadi profesor di Universiti Prague. Pada tahun yang berikutan, Einstein berpulang ke Zurich untuk menjadi profesor di "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenössische Technische Hochschule).

Pada tahun 1914 sebelum permulaan Perang Dunia I, Einstein menetap di Berlin sebagai profesor di universiti tempatan dan menjadi seorang ahli Akademi Sains Prussia serta pengarah Institut Kaiser Wilhelm bagi Fizik. Sewaktu itu, beliau juga mengambil kerakyatan Jerman. Einstein merupakan seorang profesor yang luar biasa di Universiti Leiden dari 1920 hingga 1946 dan sentiasa memyampaikan syarahan tamu. Pada tempoh itu, beliau dianugerahkan dengan Hadiah Nobel serta membuat penemuan-penemuan lain yang utama.

Malangnya, pasifisme dan keturunan Yahudi Einstein menjengkelkan pejuang-pejuang kebangsaan Jerman. Selepas beliau mencapai kemasyhuran sedunia, kebencian bersemangat kebangsaan kian bertambah dan bagi kali yang pertama, Einstein menjadi sasaran kepada kempen terancang untuk menyebabkan teori-teorinya diragui.


Teori relatif am
Untuk rencana lanjutan, sila lihat: Teori relatif am.
Pada November 1915, Einstein menyampaikan siri syarahan mengenai teori relatif am kepada Akademi Sains Prussia. Syarahannya yang terakhir memuncak dengan pengenalan persamaan yang menggantikan hukum graviti Newton. Teori ini menyempurnakan asas penyelidikan kosmologi dan membekalkan ahli-ahli sains dengan alatan untuk memahami ciri-ciri mengenai alam semesta yang telah ditemui selepas kematian Einstein. Kerelatifan am merupakan sebuah teori yang sungguh revolusioner dan sehingga kini, telah lulus dalam setiap ujian yang dibuat ke atasnya serta dipergunakan dalam analisis pelbagai perkara dalam bidang fizik.

Pada 30 Mac 1921, iaitu pada tahun yang beliau dianugerahkan dengan Hadiah Nobel, Einstein pergi ke New York untuk menyampaikan syarahan "Teori Kerelatifan" yang baru. Walaupun beliau pada waktu itu amat mashyur dalam bidang kerelatifan, beliau telah diberi Hadiah Nobel untuk fotoelektrik. Jawatankuasa Nobel telah mengatakan bahawa keputusan untuk memberi pujian kepada kerjanya yang kurang berkontronversi akan lebih diterima oleh komuniti ahli sains.


Einstein dan kuantum fizik
Hubungan Einstein dengan fizik kuantum amat luar biasa. Beliau merupakan ahli sains pertama yang sedar akan sifat revolusioner teori kuantum. Postulatnya bahawa cahaya boleh diperikan bukan sahaja sebagai gelombang tanpa tenaga kinetik, tetapi juga sebagai kuanta yang mempunyai tenaga kinetik, menandakan penyimpangan daripada fizik klasik yang penting. Pada 1909, Einstein menyampaikan kertas kerja pertama mengenai kuantifikasi cahaya kepada sehimpunan ahli fizik.

Pada pertengahan 1920-an, teori kuantum yang asal telah digantikan dengan teori mekanik kuantum yang baru. Einstein menunjukkan keberatannya tentang tafsiran persamaan-persamaan yang baru kerana teori baru memilih pemerian yang berkebarangkalian serta tidak dapat menggambarkan tindakan fizikal. Walau bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa teori itu merupakan teori yang terbaik setakat masa itu, akan tetapi beliau masih mencari penerangan yang lebih "sempurna", yakni yang lebih dapat ditentukan. Einstein tidak boleh mengabaikan kepercayaannya bahawa fizik memerikan hukum-hukum yang menguasai benda-benda yang "benar", yakni kepercayaan yang menyebabkan kejayaan atom, foton dan graviti. Dalam sepucuk surat kepada Max Born pada tahun 1926, Einstein membuat teguran yang termashyur: "Walau bagaimanpun, saya yakin bahawa Tuhan tidak bermain dadu". Kepada teguran ini, Neil Bohr, seorang ahli fizik kuantum, menempelak: "Jangan ajar Tuhan apa yang Dia perlu bikin!" Oleh sebab peristiwa ini, Einstein telah digelarkan sebagai ahli fizik klasik yang terakhir.


Statistik Bose-Einstein
Pada tahun 1924, Einstein menerima sebuah kertas kerja pendek daripada seorang ahli fizik India bernama Satyendra Nath Bose. Bose memerikan cahaya sebagai gas foton dan meminta bantuan Einstein untuk menerbitkannya. Einstein menyedari bahawa statistik yang sama itu dapat dipergunakan untuk atom dan memerikan model Bose serta menerangkan implikasinya dalam terbitan Jerman (bahasa perantaraan fizik pada waktu itu). Statistik Bose-Einstein memerikan himpunan zarah yang kini dikenali sebagai boson. Pada dekad 1920-an, fenomena peluwapan Bose-Einstein diramalkan berdasarkan kerja Bose mengenai mekanik statistik foton dan kemudiannya diformalkan dan dibuat lebih umum oleh Einstein.


Perang Dunia II
Selepas Adolf Hitler naik takhta pada 1933, kebencian kepada Einstein mencapai tahap-tahap yang baru. Beliau dituduh oleh regim Parti Pekerja-Pekerja Jerman Sosialis Nasional (National Socialist German Workers Party) kerana berniat mencipta fizik Yahudi berbeza dengan Deutsche Physik, yakni fizik Jerman ataupun Arya. Ahli-ahli fizik Nazi (termasuk pemenang Hadiah Nobel, Johannes Stark and Philipp Lenard) meneruskan percubaan mereka untuk menyebabkan teori Einstein diragui dan menyenaraihitamkan sesiapa yang mengajar teorinya (seperti Werner Heisenberg). Einstein melepaskan kerakyatan Jermannya dan melarikan diri ke Amerika Syarikat dan menjadi pemastautin tetap. Beliau menerima jawatan di Institut Penyelidikan Lanjutan yang baru diasaskan di Bandaraya Princeton, New Jersey. Einstein menjadi warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1940, walaupun beliau masih mengekalkan kerakyatan Switzerlandnya.

Pada 1938, atas dorongan Leó Szilárd, seorang ahli fizik Yahudi Hungary-Amerika, Einstein mengirimkan sepucuk surat kepada Presiden Franklin Delano Roosevelt untuk mendesaknya supaya menyelidiki pembelahan nuklear bagi kegunaan tentera kerana ketakutan kerajaan Nazi mengembangkan senjata atom lebih dahulu. Roosevelt membuat penyiasatan kecil ke atas hal tersebut dan kemudian memulakan Projek Manhattan secara besar-besaran.


Teori penyatuan bidang
Untuk rencana lanjutan, sila rujuk kepada: Teori penyatuan bidang.
Kerja Einstein di Institut Penyelidikan Lanjutan tertumpu kepada penyatuan hukum-hukum fizik yang dirujuknya sebagai "Teori Penyatuan Bidang". Beliau mencuba mereka sebuah model yang boleh memerikan segala kuasa asas sebagai penjelmaan kuasa tunggal yang berbeza. Percubaannya dihalang kerana kuasa-kuasa nuklear yang kuat serta kuasa-kuasa nuklear yang lemah tidak dapat lagi difahami secara berasingan sehingga sekitar 1970, iaitu 15 tahun selepas kematian Einstein. Walau bagaimanapun, Einstein mengemukakan semakan teori penyatuan bidangnya pada 30 Mac 1953.

Matlamat Einstein bagi menyatukan hukum-hukum fizik di bawah sebuah model tunggal masih dilanjutkan oleh ahli-ahli fizik dan kini dirangkumi dalam teori dawai.


Teori teritlak
Einstein bermula percubaannya untuk menggabungkan Hukum Semesta Graviti dan kuasa elektromagnet dalam pembentukan teori gravitasi teritlaknya supaya dapat menunjukkan penyatuan dan pemudahan kuasa-kuasa asasi. Pada tahun 1950, beliau memerikan kerjanya dalam rencana "Amerika Saintifik". Einstein telah dipandukan oleh kepercayaannya dalam ukuran variasi statistik bagi seluruh hukum fizikal.

Hukum Semesta Graviti Einstein merupakan pendekatan semesta matematik untuk teori dawai. Beliau cuba menyatukan pelbagai fenomena melalui proses lojik untuk menjadikan sesuatu yang telah diketahui ataupun nyata. Matlamatnya adalah untuk menyatukan graviti dengan elektromagnetisme dengan cara yang boleh menyebabkan pemahaman baru yang tidak ketara mengenai mekanik kuantum. Oleh sebab itu, Einstein semakin terasing dalam penyelidikannya mengenai teori graviti teritlak dan akhirnya, gagal dalam percubaannya.


Pencapaian lain
Pada tahun 1948, Einstein mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang mengasaskan Universiti Brandeis. Beliau juga dipelawakan oleh kerajaan Israel pada tahun 1952 untuk menjadi presiden Israel yang kedua. Einstein menolak tawaran tersebut dan merupakan rakyat tunggal di Amerika Syarikat yang pernah ditawarkan jawatan ketua negara asing.


Pandangan agama
"Sains tanpa agama adalah tempang, agama tanpa sains adalah buta," berkata Einstein. Aforisme yang terkenal itu telah menjadi punca perdebatan yang tidak habis-habis antara penganut dengan golongan bukan penganut yang ingin menuntut Einstein sebagai penyokong mereka.

Sepucuk surat yang tidak diketahui oleh banyak orang mungkin boleh membantu menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kontroversi tentang pandangan Einstein terhadap agama.[1] Pada 3 Januari 1954, Einstein menulis sepucuk surat kepada ahli falsafah, Eric Gutkind, selepas Gutkind menghantarnya senaskhah buku yang berjudul Choose Life: The Biblical Call to Revolt (Pilihlah Hidup: Panggilan Bible untuk Memberontak). Dalam surat itu, beliau berkata:

Perkataan tuhan bagi saya tidak melebihi ungkapan dan hasil kelemahan manusia, dengan kitab Bible merupakan sekumpulan legenda yang walaupun mulia, masih primitif dan agak keanak-anakan. Tiada tafsiran, walau betapa halus, dapat (bagi saya) menukarkan [kenyataan] ini."
Bagi saya, agama Yahudi, sebagaimana dengan agama yang lain, ialah penjelmaan semula kepercayaan karut yang paling keanak-anakan. Dan kaum Yahudi yang saya dengan senang hati merupakan sebahagian dan yang mentali mereka, saya amat sangat tertarik, tidak memiliki sifat yang berbeza bagi saya daripada semua kaum yang lain. Sejauh yang saya tahu, berdasarkan pengalaman saya, mereka tidaklah lebih baik daripada kaum manusia yang lain, walaupun mereka dilindungi daripada barah yang paling buruk oleh kekurangan kuasa. Selain itu, saya tidak dapat mengesan sebarang ' yang terpilih' dalam kalangan mereka."

Anugerah-anugerah
Einstein telah menerima banyak anugerah anumerta, termasuknya:

Tempat ke-10 dalam "Senarai Seratus Tokoh yang Berpengaruh Dalam Sejarah" oleh Michael H. Hart pada 1992;
"Tokoh Abad" oleh Time pada 1999;
Tahun 2005 telah dianugerahkan sebagai "Tahun Dunia bagi Fizik" dan diraikan di Simposium Einstein oleh UNESCO kerana berbetulan dengan Perayaan Seratus Tahun "Kertas kerja Anus Mirabilis",
Nama Einstein juga telah dipergunakan untuk:

unit yang digunakan di bidang fotokimia;
unsur kimia ke-99, iaitu einsteinium;
asteroid 2001 Einstein;
Hadiah Perdamaian Albert Einstein;
Kolej Perubatan Albert Einstein di Universiti Yeshiva yang dinamakan pada tahun kematiannya dalam tahun 1955;
Pusat Perubatan Albert Einstein di Philadelphia, Amerika Syarikat.

Karya-karya Einstein
"Penyelidikan Bentuk Gas Eter dalam Medan-medan Magnet". (PDF)
"Gagasan-gagasan dan Pendapat-pendapat". ISBN 0517003937
"Dunia Pada Pandangan Saya". ISBN 080650711X (terjemahan daripada "Mein Weltbild").
"Kerelatifan: Teori Relatif Khas dan Teori Relatif Am". ISBN 0517884410 (E-teks Projek Gutenberg.)
"Berkenaan dengan Elektrodinamik Benda-benda Bergerak" Annalen der Physik. 30 Jun, 1905
"Adakah Inersia Sesuatu Benda Tergantung kepada Kandungan Tenaganya?" Annalen der Physik. 27 September 1905.
"Syarahan Sulung kepada Akademi Sains Prussia," 1914. (PDF)
"Asas Teori Relatif Am." Annalen der Physik, 49. 1916.
"Gagasan-gagasan dan Masalah-masalah Asas Teori Kerelatifan." Syarahan Nobel dalam Fizik 1921. Perhimpunan Ahli-ahli Alamiah Nordik di Gothenburg, 11 Julai 1923.
Einstein A., Lorenz H. A., Weyl H. dan Minkowski H. "Prinsip Kerelatifan". Diterjemahkan oleh W. Perrett dan George Barker Jeffery. New York: Penerbitan Dover, 1923.
"Kenapa Socialisme?" Tinjauan Bulanan. Mei 1949.
"Berkenaan dengan Teori Umum Kegravitian". April, 1950.

Kronologi
1879: Dilahirkan di Ulm, Baden-Württemberg, Jerman, lebih kurang 100 kilometer timur dari Stuttgart pada 14 Mac.
1894 (umur 15): (1) Berpindah dari Munich ke Pavia, Itali berhampiran dengan Milan, selepas kegagalan perniagaan elektrokimia ayahnya; (2) Mengarang karya saintifik pertama yang bertajuk "Penyelidikan Bentuk Gas Eter dalam Medan-medan Magnet".
1895 (umur 16): Bergagal dalam peperiksaan kemasukan "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenössische Technische Hochschule) di Zurich, dan kemudian dihantar oleh keluarganya ke Aarau, Switzerland untuk menghabiskan pendidikan menengahnya.
1896 (umur 17): (1) Menerima ijazah sekolah menengah pada bulan September; (2) Menyerahkan kerakyatan Jermannya untuk mengelakkan pengerahan tentera dan terjadi seorang yang tidak bernegara.
1900 (umur 21): Mencapai diploma perguruan dari Institut Politeknik Zurich (Eidgenössische Technische Hochschule) dan diterima sebagai rakyat Switzerland.
1902 (umur 23): (1) Menjadi penolong pemeriksa teknik (kelas ketiga) di Pejabat Paten Swiss; (2) Melahirkan seorang anak diluar nikah selepas jatuh hati pada Mileva Mariv, seorang penuntut kolejnya yang berbangsa Hungary.
1903 (umur 24): Berkahwin dengan Mileva Mariv pada 6 Januari.
1904 (umur 25): Melahirkan anak sulungnya, Hans Albert Einstein, pada 14 Mei.
1905 (umur 26): (1) Mencapai ijazah kedoktorannya selepas penyerahan tesisnya, "Cara penentuan dimensi molekul yang baru" ("Eine neue Bestimmung der Moleküldimensionen"); (2) Mengarang empat rencana yang telah digelarkan sebagai "Kertas kerja Annus Mirabilis".
1906 (umur 27): Dinaik pangkat sebagai pemeriksa teknik kelas kedua.
1908 (umur 29): Diperlesenkan sebagai Privatdozent, yakni seorang guru tanpa bergaji di universiti.
1910 (umur 31): Melahirkan anak kedua, Eduard Einstein pada 28 Julai.
1911 (umur 32): Menjadi profesor madya di Universiti Zurich dan tidak lama kemudian, menjadi profesor sepenuh masa di Universiti Prague.
1912 (umur 33): Berpulang ke Zurich untuk menjadi profesor di "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenössische Technische Hochschule).
1914 (umur 35): (1) Menetap di Berlin sebagai profesor di Universiti Berlin dan menjadi ahli Akademi Sains Prussia serta pengarah Institut Kaiser Wilhelm bagi bidang Fizik di Berlin; (2) Mengambil kerakyatan Jerman .
1915 (umur 36): Merumuskan Teori Relatif Am pada November.
1919 (umur 40): (1) Membentangkan kertas pertama mengenai pengkuantitian cahaya kepada perhimpunan ahli-ahli fizik; (2) Bercerai dengan Mileva pada 14 Februari, dan berkahwin dengan Elsa Löwenthal, saudari sepupunya.
1920 (umur 41): Menjadi profesor di Universiti Leiden sehingga 1946.
1921 (umur 42): Dianugerahkan dengan Hadiah Nobel bagi Fizik bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik serta khidmatnya kepada Fizik Teori.
1933 (umur 54): (1) Dituduh oleh Rejim Parti Pekerja-Pekerja Jerman Sosialis Nasional (National Socialist German Workers Party) kerana dikatakan berniat mencipta fizik Yahudi yang berbeza dengan fizik Jerman (ataupun fizik Arya) selepas Adolf Hitler menjadi Canselor Jerman; (2) Melepaskan kerakyatan Jermannya dan melarikan diri ke Amerika Syarikat yang memberikannya taraf pemastautin tetap; (3) Bertugas di Institut Pendidikan Lanjutan (Institute for Advanced Study) yang terletak di Perbandaran Princeton, New Jersey.
1939 (umur 60): Menulis surat kepada Presiden Franklin Delano Roosevelt untuk mendesaknya menyelidiki pembelahan nuklear bagi kegunaan tentera, disebabkan ketakutan bahawa kerajaan Nazi akan mengembangkan senjata atom lebih dahulu. Roosevelt membuat penyiasatan tentang hal tersebut dan kemudian memulakan Projek Manhattan secara besar-besaran.
1940 (umur 61): Menjadi warganegara Amerika Syarikat, walaupun masih mengekalkan kerakyatan Switzerlandnya.
1948 (umur 69): Menjadi ahli jawatankuasa yang menubuhkan Universiti Brandeis.
1950 (umur 71): Memerikan Teori Umum Kegravitian melalui rencananya di "Amerika Saintifik".
1952 (umur 73): Menolak tawaran oleh kerajaan Israel untuk menjadi Presiden yang kedua bagi negara itu.
1953 (umur 74): Membentangkan semakan Teori Penyatuan Bidang.
1955 (umur 76): Meninggal dunia pada 1.15 pagi, 18 April di hospital Princeton. Mayatnya dibakar di Trenton, New Jersey tanpa sebarang adat istiadat menurut hajatnya. Abu mayatnya disebar ditaburkan di lokasi yang tidak dapat dipastikan.

Rujukan
↑ Guardian.co.uk: Childish superstition: Einstein's letter makes view of religion relatively clear

2 comments:

  1. Waaa, terbaik laa admin. Thanks for the information i'll like it ! :D

    ReplyDelete
  2. amazing tak ada kata yang bisa melukiskan Albert Einstein,,,,

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...