klik kalau berani... PASTIKAN ANDA 18 TAHUN KE ATAS..

Monday, October 26, 2009

Biodata Tokoh Sasterawan Negara 2009 : Biodata Dr. Mohd Anwar Ridhwan

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Mohd Anwar Ridhwan (5 Ogos 1949 - ) merupakan Sasterawan Negara Malaysia ke-10 dan juga merupakan seorang penulis novel Malaysia. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak yang kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Pada 11 Ogos 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-10 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di Putrajaya.

Biodata peribadi
Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.

Dunia Penulisan
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Pencapaian
1.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen "Perjalanan Terakhir (1971)
2.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973)
3.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976)
4.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran,
5.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982)
6.Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983)
7.Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979)
8.Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus
9.Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 oleh Tengku Mizan.

Wednesday, September 30, 2009

Biodata Calon PAS di PRK Bagan Pinang

Biodata Tokoh: Calon PAS N.31 Bagan Pinang (Zulkefly Mohamad)






Nama : Zulkefly Mohamad Bin Haji Omar
Tempat Lahir : Lenggeng, Negeri Sembilan
Tarikh Lahir : 14 Mei 1964 (45 tahun)
Nama Isteri : Saeiah bt Tarmizi
Bilangan Anak : 6 orang (4 Lelaki 2 Perempuan)

Latar Belakang Pendidikan :
Ijazah Sarjana Sains (Master In Science – Corporate Communication), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) UiTM

Latar Belakang Politik Dalam PAS :
- Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2007 - sekarang )
- Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2005 – 2007)
- Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan (2003 – 2005)
- Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (2001 – 2005)
- Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (2004 – 2005)
- Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan (2001 – 2004)
- Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (1999 - 2001)
- Penolong Setiausaha PAS Kawasan Seremban (1998 – 2000)

Latar Belakang Kerjaya :
- Pengarah Urusan / Konsultan Syarikat L & R Enterprise Sdn.Bhd
- Pengurus Kanan (Perniagaan) – IS Technologies Sdn.Bhd (1999 – 2004)
- Mantan Ketua Bahagian (Market Planning-C & B) – Telekom Malaysia
- Mantan Eksekutif Perhubungan Korporat Pusat Zakat Selangor
- Mantan Pegawai Perhubungan Ko-operasi Celcom
- Mantan Biro Perkhidmatan Angkasa

Latar Belakang Organisasi NGO :
- Pengerusi No Incinerator Broga (Negeri Sembilan-Selangor)
- Penasihat Persatuan Penduduk Tiang / Sri Petaling, Jelebu Negeri Sembilan
- Penasihat Kelab Penyokong PAS (Mantin, Ulu Branang,Broga)
- Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Cawangan Negeri Sembilan
- Penasihat Persatuan Penjaja Ayam (Pasar Seremban)
- Penasihat Jawatankuasa Bertindak Getco, Jelebu

Sumber : KedahLanie

Saturday, September 19, 2009

Wednesday, September 16, 2009

Biodata Tokoh: SIRI 2:Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Saari Sungib abuurwah@gmail.com

sambungan...

Pembaharuan melalui Politik Islam

Pada 14 Mac 1948, dalam Persidangan MATA, sebuah "Parti Orang-Orang Islam Malaya" atau dikenal dengan nama Hizbul Muslimin telah ditubuhkan. Nama Hizbul Muslimin telah dicadangkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan disokong oleh Ustaz Abrab Tamimi dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Hizbul Muslimin mengambil semangat penubuhannya daripada Masjumi di Indonesia dan Ikhwan Muslimin di Timur Tengah.

Hizbul Muslimin ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair berasaskan Islam.

Dasar parti ini adalah atas "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu Darul-Islam".

Dalam persidangan tersebut Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi Ketua Umum Hizbul Muslimin.

Tamparan kepada UMNO

Dalam persidangan penubuhan MATA di Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin-pemimpin UMNO berasa sangat ragu-ragu dan berusaha mengelakkan diri daripada menyertainya. Tidak ramai di kalangan tokoh UMNO yang hadir dalam persidangan tersebut.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin PKMM ramai yang hadir. Bahkan ramai anggota PKMM yang mengambil bahagian penting dalam menggerakkan beberapa jawatankuasa di bawah MATA. Keadaan ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada UMNO yang baru saja ditubuhkan itu.

Satu lagi tamparan terhadap UMNO adalah apabila PEPERMAS ditubuhkan. Dengan penubuhan PEPERMAS ia menjadi saingan hebat kepada bahagian iktisad UMNO. Bahagian ini sedang giat merangka perancangan ekonomi lima tahunnya yang pertama dan mahukan sokongan ramai orang Melayu.

Sejak itu lagi pihak UMNO telah membuat ancaman dengan menggunakan ungkapan "bahaya dari gunung" terhadap tuntutan dan usaha yang dilakukan oleh aktivis Islam daripada MATA.

Penubuhan Hizbul Muslimin seterusnya memberi tamparan yang sangat hebat kepada UMNO. UMNO menolak penubuhan Hizbul Muslimin.

Sebaliknya, sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, PKMM menjadi parti yang sangat berdamping rapat dengan Hizbul Muslimin.

Pusat Memperjuangkan Kemerdekaan

Pada masa itu Maahad Al-Ehya Al-Sharif menjadi pusat, sedangkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadi ikon bagi perjuangan kemerdekaan.

Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata "nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka".


Di bawah kepemimpinann Ustaz Abu Bakar Al-Baqir beberapa persidangan bagi menyemarakkan tuntutan kemerdekaan telah diadakan.

Hubungan peribadi yang baik di antara Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dengan pemimpin PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, pemimpin Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah C.D dan juga pemimpin-pemimpin kiri seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain menjadikan semua persidangan yang dipanggil di atas nama Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat sambutan yang amat luar biasa.

Suasana keterbukatan dan perkongsian yang diwujudkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadikan semua pihak yang mahukan Tanah Melayu merdeka, merasakan sumbangan mereka masing-masing dihargai.

Tidak hairan kenapa beberapa pendukung PKMM dan PKM beranggapan bahawa Hizbul Muslimin adalah sayap politik Islam bagi PKMM sebagaimana API adalah sayap pemuda dan AWAS adalah sayap wanita bagi PKMM.

Pada masa itu terdapat ramai anggota-anggota Melayu daripada PKM yang pada masa yang sama juga merupakan anggota dan penggerak utama bagi PKMM.

Bagi sebahagian orang Melayu, PKM pada masa itu adalah satu saluran perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Tambahan lagi semasa pendudukan Jepun mereka turut serta dalam Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau MPAJA. MPAJA adalah front utama PKM dalam perang gerila menentang penjajah Jepun.

Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, pelbagai kumpulan politik Melayu kecuali UMNO, berkongsi satu cita-cita yang sama, iaitu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British.

Demikian juga bagi aktivis Islam, dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin mereka mahu menjadikan MATA sebagai jabatan agama, LEPIR sebagai jabatan pendidikan dan PEPERMAS sebagai jabatan ekonomi di bahawa Hizbul Muslimin.

Apapun, Al-Ehya dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dalam persidangan-persidangan ini telah menaik dan mengibarkan bendera merah putih berbintas duabelas yang melambangkan bendera Malaya Merdeka.

Bendera ini telah diluluskan oleh pakatan politik berbilang kaum PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi pada tahun 1947.

Tamparan berubah Menjadi Hasutan

Penubuhan Hizbul Muslimin menambah lagi tamparan kepada UMNO. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Dato Onn Jaafar terhadap Hizbul Muslimin menyebabkan pentadbiran penjajah British melakukan pengawasan yang ketat dan tekanan yang hebat terhadap Hizbul Muslimin.

Dato Onn mengulang ancamannya dengan mengatakan: "Bahaya dari Gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu 'merah"."

Keterbukan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk bergabung tenaga dengan semua pergerakan rakyat yang menentang British dan memperjuangkan kemerdekaan dilihat sebagai ancaman oleh Dato Onn dan UMNO pada masa itu.

Lantaran itu Hizbul Muslimin dilabel oleh Dato Onn sebagai "merah" dan dengan itu Dato Onn telah berjaya menghasut penjajah British untuk menganggap parti Islam itu sebagai pro-komunis.

Pengintipan dan Penangkapan

Dengan tuduhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, pengintipan berterusan dilakukan terhadap Hizbul Muslimin.

Banyak pengintipan dan laporan kepada pihak polis dilakukan oleh Penghulu Muda yang baru sahaja didatangkan ke Gunung Semanggol pada awal tahun 1948. Beliau adalah saudara kepada Datuk Zainal Abidin Abas, iaitu orang kuat UMNO yang juga merupakan kawan baik kepada Dato' Onn.

Sebenarnya penghantaran Penghulu Muda itu adalah kehendak UMNO untuk mengintip pergerakan Al-Ehya dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Akhirnya Penghulu Muda itu mati dalam keadaan yang tidak baik iaitu selepas meminum arak. Kepercayaan seperti ini amat berpengaruh kepada umat Islam di Gunung Semanggol pada masa itu. Peristiwa seperti inilah yang menjadikan orang-orang Melayu di Gunung Semanggol terus menolak UMNO.

Pada pukul 12:00 tengahari, 29 Julai 1948, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditangkap di bawah Undang-Undang Darurat.

Lima Tahun Merengkok dalam Penjara

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan tanpa bicara di atas alasan "bahaya kepada keselamatan Tanah Melayu".

Beliau bersama-sama lebih 300 tokoh politik agama dan pemimpin Melayu ditahan kerana dituduh menentang British.

Tuduhan sampingan yang dikenakan sebagai alasan menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir adalah beliau ada berkempen menyeru orang ramai supaya jangan membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina di Gunung Semanggul!

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan selama enam bulan di penjara Taiping, kemudian dipindahkan sebagai tahanan politik di Pulau Jerjak. Beliau ditahan di Pulau Jerjak selama setahun setengah.

Semasa beramai-ramai di penjara Pulau Jerjak, mereka telah membuat pakatan iaitu apabila keluar nanti ada di kalangan mereka secara langsung atau tidak langsung hendaklah menjalankan jarum ke dalam UMNO untuk menukar UMNO dari slogan "Hidup Melayu" kepada slogan "Merdeka".

Kemudian Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dipindahkan ke penjara di Tanjung Beruas Melaka dan akhirnya ke penjara Ipoh.

Selepas dipenjarakan selama empat tahun tiga bulan, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dibebaskan pada bulan Oktober 1952.

Walaupun penjajah British tidak secara rasmi mengeluarkan perintah mengharamkan Hizbul Muslimin, namun tindakan British menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama 300 orang pemimpin dan para aktivis, telah menjadikan Hizbul Muslimin lumpuh sama sekali.

Terus Berjuang

Sebagai pengasas parti lslam pertama di negara ini, Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan Darul lslam.

Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak dan beberapa bulan selepas itu barulah UMNO ditubuhkan.

Semasa Darurat semua kegiatan politik telah diharamkan oleh British. Namun UMNO dibenarkan bergerak cergas oleh penjajah British bagi mengatur jentera ke arah pilihanraya 1955.

Dalam pilihanraya tahun 1955, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bertanding sebagai calon Perikatan Melayu Perak menentang calon UMNO, tetapi gagal.

Ustaz Abu Bakar Al-Bakir tidak menjadi calon PAS yang telah pun ditubuhkan pada tahun 1951. Sebaliknya satu pakatan politik dan kerjasama telah diwujudkan di antara PAS dengan Perikatan Melayu Perak. Pendekatan ini adalah satu strategi yang dirasakan perlu bagi melindungi Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Sumbangan kepada Gerakan Islam

Walaupun aktiviti di atas nama Hizbul Muslimin berakhir disebabkan perintah Darurat, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulamak terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan.

Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah diberikan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pengasas Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin MATA, PEPERMAS, LEPIR dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah meletakkan asas utama bagi penubuhan PAS.

Anugerah

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah meneruskan usaha baktinya memajukan Maahad El-Ehya Al-Sharif hingga ke akhir hayatnya pada bulan Julai, 1974.

Pada tahun 1960an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Perak.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dianugerahkan pingat Jasa Perdana (J.P) dan Pingat Jasa Kebaktian ( P.J.K)

Setelah pemergiannya, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Perak 1975.

Sumber : http://5tokoh.blogspot.com/

Sunday, September 13, 2009

Biodata Osama Laden | Osama Meninggal Dunia??


PEMIMPIN Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) dipercayai sudah meninggal dunia pada 13 Disember 2001 akibat penyakit buah pinggang tetapi pemerintah Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Britain dipercayai menyembunyikan kematiannya bagi meneruskan perang terhadap keganasan, lapor sebuah akhbar semalam.. Lagi

...................................................

Biodata Osama bin Laden

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Osama bin Laden, adalah seorang tokoh dari Arab Saudi

Biodata
Osama bin Mohammed bin Awad bin Laden (bahasa Arab: أسامة بن محمد بن عود بن لادن) yang secara popular dikenal dengan Osama bin Laden, dilahirkan pada tanggal 28 Jun 1957 di kota Jeddah, Arab Saudi, kawasan pantai Laut Merah. Osama adalah anak ke 17 dari 52 orang anak bersaudara.

Bapanya bernama Mohammed bin Laden, adalah seorang petani miskin dari Yaman yang kemudian berpindah ke Arab Saudi selepas Perang Dunia II. Di tempat yang baru ini Mohammed bin Laden memulakan kerjayanya yang baru bergerak dalam bidang perniagaan pembangunan. Pada akhirnya beliau mendapat banyak kontrak bagi pembangunan masjid-masjid dan istana-istana yang sangat bernilai dari pemerintah Arab Saudi. Oleh kerana itu beliau telah mengembangkan tali persahabatan yang sangat akrab dengan keluarga Kerajaan Saudi. Mohammed bin Laden kemudian telah menjadi salah seorang yang paling kaya di Arab Saudi, yang dianggarkan memiliki aset jutaan dollar Amerika Syarikat. Dari keuntungannya ini dianggarkan Mohammed bin Laden memiliki saham sejumlah hampir 300 juta dollar Amerika.


Pendidikan dan Masa Mudanya
Ketika di usia remaja, Osama bin Laden telah bergabung dengan gerakan Wahhabi Konservatif-Baru (Ultrakonservatif) ; dan beliau pernah menyertai jabatan polis yang menegakkan undang-undang syariah. Osama adalah seorang bekas mahasiswa Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah, dimana beliau berguru kepada salah satu diantara gurunya,iaitu Sheikh Abdullah Azzam. Guru Abdullah Azzam inilah yang kemudian diketahui sebagai tokoh utama yang memainkan peranan menggerakkan sokongan kepada bangsa Arab bagi kaum Mujahidin yang berperang melawan kependudukan Russia di Afganistan. Osama bin Laden lulus pengajiannya dan mendapat ijazah sarjana tahun 1979 dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan.


Perjalanan Hidupnya
Osama bin Laden mula membangunkan jaringan komunikasinya pada tahun 1979 ketika beliau ke Afganistan menyertai perang kaum pejuang Afgan yang dikenali sebagai kaum mujahidin yang tetap bertahan dan bertempur melawan Kesatuan Soviet. Osama mengeluarkan dana daripada aset kekayaannya dan pengaruhnya keluarganya bagi gerakan pertahanan Afgan, dan membantu kaum Mujahidin dengan bantuan logistik dan bantuan kemanusiaan. Osama juga terlibat mengambil bahagian dalam beberapa pertempuran selama perang Afganistan.

Ketika peperangan melawan Soviet hampir berakhir, Osama menubuhkan gerakan Al Qaeda, sebuah organisasi bekas pejuang Mujahedin dan para penyokong lainnya yang membantu menyalurkan baik dana dan pasukan pejuang untuk gerakan pertahanan Afgan.

Ketika tentera Soviet berundur keluar dari Afghanistan, Osama bin Laden pulang ke Arab Saudi dan menceburi perusahaan pembinaan dan pembangunan milik keluarga, Kumpulan Perusahaan Bin Laden. Di sini beliau kemudiannya bersama dengan kelompok orang-orang Saudi yang haluan kiri dan menentang pemerintahan kerajaan / monarki Saudi, iaitui terhadap [[Keluarga Raja Fahd. Pada tahun 1995 Osama bin Laden membangunkan infrasruktur di Sudan ketika hubungannya dengan Presiden Umar Al Basyir dan Dr Hasan Turabi yang memerintah Sudan.

Pada tahun 1994, Pemerintah Saudi menarik hak kewarganegaraan Osama dan membekukan seluruh aset dan kekayaannya di seluruh negara.Menurut Pemerintah Amerika Syarikat, Al Qaeda telah meniru gerakan-gerakan perikatan dengan pola pemikiran golongan fundamentalis, seperti misalnya golongan Al-Jihad di Mesir, Gerakan Hizbullah di Iran, Front Islam Nasional di Sudan, dan kelompok-kelompok jihad lain di Yaman, Saudi Arabia, dan Somalia. Organisasi Osama bin Laden juga memiliki ikatan-ikatan dengan "Kelompok Islam" yang pada suatu ketika dibawah pimpinan Syaikh Omar Abdel Rahman, seorang ulama Mesir yang di jatuhi hukuman penjara seumur hidup sejak pengakuannya pada tahun 1995 menggagalkan persekongkolan meletupkan beberapa tempat di kawasan bandar New York. Pada akhir tahun 1990-an dua orang anak Sheikh Rahman bergabung bersama kekuatan tentera dan perjuangan Osama bin Laden.

Sejak tahun 1992, Pemerintah Amerika Syarikat memberi amaran bahawa Osama bin Laden dan anggota-anggota lainnya dari gerakan Al Qaeda menjadi sasaran tentera Amerika yang bertugas di Saudi Arabia, dan di Yaman, dan kesatuan ketenteraan yang ditugaskan di Gurun Afrika, termasuk di Somalia. Pada bulan Oktober 1993,dilaporkan 18 orang anggota tentera kebangsaan Amerika Syarikat yang bekerja untuk bantuan kemanusiaan di Somalia, terbunuh di sana ketika menjalankan kerja sosial mereka. Mayat tentera pekerja sosial itu diseret dan dianiaya di sepanjang jalan-jalan raya. Pada tahun , Osama bin Laden dikenakan hukuman atas tuduhan melatih orang-orang yang terlibat dalam serangan pembunuhan tentara pekerja sosial tersebut dan beliau menyatakan bahawa para pengikutnya bersama kaum Muslim setempat telah membunuh tentera-tentera itu.Perundangan Amerika Syarikat turut menuduh bahawa Osama bin Laden memiliki jaringan dengan serangan-serangan yang gagal ke atas dua hotel di Yaman di mana para tentera Amerika Syarikat bermalam dalam perjalanan mereka ke Somalia.

Pada 7 Ogos 1998,lapan tahun selepas tentera AS di tugaskan beroperasi di Arab Saudi, dua trak mengandungi bom meletup di luar Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Nairobi, Kenya; dan di Dares Salaam, Tanzania. Osama bin Laden mengaku tidak bertanggungjawab, tetapi para Hakim menegaskan keterlibatan dan kesalahannya itu terbukti dengan adanya surat-surat faksimili yang dikirimkan oleh kelompok Sel Osama di London setidaknya kepada tiga agen penjualan media internasional. Para Hakim juga menunjukkan pengakuan penjenayah tertuduh pelaku pengeboman Kedutaan-Kedutaan Besar , yang mengaku mereka adalah anggota gerakan Al Qaedah.

Empat belas hari kemudian, pada 20 Ogos 1998, Presiden Bill Clinton memerintahkan armada Kapal Perang Amerika Syarikat menggempur kem-kem di Afganistan yang disyaki sebagai markas latihan pengganas, dan penggempuran keatas kilang pengujian bahan kimia di Khartoum, Sudan. Osama bin Laden selamat dari serangan itu dan dijatuhkan hukuman oleh kerajaan Amerika Syarikat atas tuduhan sebagai perancang serangan-serangan bulan November 1998.

Presiden George W. Bush telah menyatakan bahawa Osama adalah tertuduh utama dalam serangan pengganas di bandar New York dan Washington pada 11 September 2001; dan serangan pengganas yang lain keatas Kedutaan-Kedutaan Besar Amerika Syarikat, kapal-kapal perang, dan asset-aset Amerika Syarikat yang lain.

Para pejuang Taliban telah mengutuk serangan hari Selasa ke atas Amerika Syarikat itu dan menegaskan bahawa Taliban tidak terlibat. Osama bin Laden secara tegas dan meyakinkan telah menyangkal penglibatan dirinya dalam serangan 11 September 2001 itu.

Osama bin Laden boleh disamakan dengan Che Guevara dalam perjuangannya terhadap ketidakadilan yang terjadi akibat haegemoni barat khususnya Amerika Syarikat terhadap bangsa bangsa di dunia khususnya yang terjadi di negara negara dunia Islam. Banyak pengamat Islam Antarabangsa menyatakan bahawa perjuangan Osama bin Laden dan Al Qaeda akan tetap berterusan selama dunia barat khususnya Amerika Syarikat tidak mengubah dasar luar yang tidak adil terhadap negara negara dunia Islam. Isu palestin adalah diantaranya, serta serangan dan pendudukan tentera AS di Iraq membuat masalah yang dikatakan dunia barat sebagai terorisme tidak akan selesai

Biodata Tokoh: Dato' seri ir Mohammad Nizar Jamaluddin | AP Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang


BIODATA TOKOH

Yang Berhormat Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin

Menteri Besar Perak ke-10
Dalam pejabat : 11 Mei 2009 – 12 Mei 2009

--------------------------------------------------------------------------------

Ahli Parlimen
untuk P59 Bukit Gantang

Mula berkhidmat : 7 April 2009

--------------------------------------------------------------------------------

Ahli Dewan Undangan Perak
bagi kawasan N51 Pasir Panjang
Mula berkhidmat : 8 Mac 2008
Tarikh lahir : 17 Mac 1957
Tempat lahir : Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak
Parti politik : PAS
Pasangan : Fatimah Taat
Pekerjaan : Ahli Dewan Undangan Negeri & Ahli Dewan Rakyat
Agama : Islam

...............................................................................
BIOGRAFI

Mohammad Nizar Jamaluddin

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (lahir 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Negeri Perak) merupakan Menteri Besar Perak ke-10 apabila membentuk kerajaan negeri selepas menang Pilihan Raya Umum Malaysia 2008. Beliau merupakan ADUN Pasir Panjang, Perak dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak. Beliau dikatakan tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak setelah Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari 2009. Walaubagaimanapun, selepas 96 hari, Mahkamah Tinggi Malaysia mengisytiharkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah.

Pada 22 Mei, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar hujah-hujah mereka memutuskan Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah, sekaligus membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Menteri Besar
Sebelum Mohammad Nizar menjadi Menteri Besar, ketiga-tiga parti pembangkang Parlimen (yang selepas itu menubuhkan Pakatan Rakyat) iaitu DAP, PKR, dan PAS yang ingin menubuhkan kerajaan baru bagi negeri Perak. Antaranya DAP mempunyai kerusi DUN yang terbanyak, seterusnya PKR, dan akhirnya PAS. Namun Perlembagaan Negeri Perak mensyaratkan hanya orang Melayu beragama Islam boleh menjadi Menteri Besar, melainkan Sultan mengizinkan seseorang yang bukan Melayu dan bukan Islam untuk memegang jawatan ini. Oleh itu pada mulanya ketiga-tiga buah parti ini terus sebulat suara bersetuju bahawa Mohammad Nizar menjadi Menteri Besar. Namun keputusan ini dibantah oleh akar umbi DAP. Oleh itu mereka terpaksa memujuk Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, agar melantik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, untuk menjadi Menteri Besar bukan Melayu bukan Islam yang pertama (Ngeh seorang yang berbangsa Cina dan beragama Kristian). Akhirnya Sultan Perak menolak cadangan ini dan menegaskan untuk seorang Menteri Besar baru yang juga orang Melayu. Baginda mahukan Orang Melayu yang profesional. DAP tidak mempunyai ADUN Melayu, dan kesemua ADUN Melayu PKR hanya berkelayakan Tingkatan 5. Oleh itu, Mohammad Nizar Jamaluddin yang sebagai seorang jurutera dan juga memegang jawatan yang tertinggi dalam PAS di antara semua ADUN PAS dilantik sebagai Menteri Besar.

Ir. Mohammad Nizar pada asalnya dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008. Walau bagaimanapun, Lim Kit Siang menyatakan DAP akan memboikot pelantikan itu dan majlis pentauliahan dan angkat sumpah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kerana PAS bukan parti utama yang memenangi pilihan raya 2008 peringkat negeri Perak. Beliau berpendapat bahawa ADUN Melayu PKR yang harus dilantik sebagai Menteri Besar, kalau ADUN DAP ditolak. Beliau bagaimanapun menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf.

Lanjutan itu, pihak istana telah membatalkan istiadat mengangkat sumpah dan meminta ketiga-tiga DAP, PKR dan PAS bermesyuarat sekali lagi dan menghantar satu surat yang ditandatangani semua 31 ADUN mereka, menyatakan sokongan bersama.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008 (bersamaan hari jadinya yang ke 51) di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Perak.


Pendidikan
Belajar di Sekolah Rendah Anglo-Chinese School (ACS) Kampar. Kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Anglo-Chinese School Kampar dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh dan menyambung pengajian peringkat A-level dan ijazah di England.

Beliau merupakan seorang jurutera perunding lulusan Aston University of Science & Technology di Birmingham, England.

Nizar mempunyai kebolehan bertutur dalam 4 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan Bahasa Tamil.


Keluarga
Isterinya Fatimah Taat dan mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan.

Anak sulung dan kedua beliau merupakan penuntut lulusan BA Syariah Universiti Mu'tah di Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universiti Damsyik, Syria dan Universiti Lubnan. Manakala anak yang keempat hingga kelapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.


Kerjaya
Ir. Nizar pernah bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum berkhidmat sebagai jurutera di Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang PDC).

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Itali, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Teheran, Iran.

Pengalaman politik
Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan berjawatan dalam PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasan Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak itu menyertai PAS sebagai ahli biasa pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz.

Mohammad Nizar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang 2008. Berikutan kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang,Roslan Shaharum dari PAS,Satu Pilihanraya kecil telah diadakan pada 7 April 2009.Mohammad Nizar telah bertanding atas tiket PAS dan berjaya mengekalkan Kerusi tersebut bagi parti PAS.

Kontroversi

Isu pengarah JAIP
Mohammad Nizar dilaporkan memberi arahan supaya Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury, bertukar serta-merta dalam tempoh 24 jam kerana cuba mensabotaj kerajaan negeri.

Jamry yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diarah keluar dari pejabatnya oleh Mohammad Nizar pada pagi 29 April 2008 kerana Jamry dituduh cuba mengsabotaj usaha kerajaan negeri menukar ahli-ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak[4].

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik serta merta arahan pertukaran yang dibuat ke atas Jamry kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) adalah di bawah kuasa Sultan dan perlu melalui saluran yang betul. Mohammad Nizar juga dimaklumkan bahawa hubungan kerja yang menghormati Sultan merupakan konvensyen dan budaya kerja yang sentiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Menteri Besar dengan pihak Istana selama ini.

Arahan supaya menarik balik arahan pertukaran itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar dititah untuk menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak pada pukul 11 pagi Jumaat, 2 Mei 2008, untuk menyembah maklum kepada baginda berhubung arahan pertukaran Jamry[5].

Akhirnya berkat kesabaran YAB Menteri Besar, dengan sokongan anggota JAIPk dan MAIPk maka penghujung 2008 Jamry Sury telah berjaya ditukarkan dan digantikan oleh Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz.

Peralihan Kuasa kepada BN
Rencana utama: Krisis perlembagaan Perak 2009
Kejatuhan kerajaan PKR pada 6 Februari akibat 2 ADUN PKR (Behrang & Changkat Jering) dan 1 ADUN DAP (Jelapang) telah bertindak keluar parti dan menjadi Bebas, kelayakan ketiga-tiga ADUN ini dipertikai kerana kerusi DUN yang berkenaan telah diumumkan kosong oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar berdasarkan surat perletakan jawatan yang ditandatangan awal. Bagaimanapun BN mempertikaikan penerimaan surat yang yang ditandatangan awal sebagai tidak sah berdasarkan keputusan mahkamah dalam kes sebelum ini. Ini menjadikan BN dan PKR mempunyai 28 wakil setiap satu.

SPR kemudiannya telah menggunakan bidang tugasnya daripada memastikan kelancaran dan pilihanraya yang bersih bertindak menolak untuk diadakan pilihanraya kecil berdasarkan keputusan mahkamah bahawa surat bertandatangan awal (presign) adalah tidak sah.

Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin telah memohon perkenan Kebawah DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah untuk membubarkan DUN sebaliknya Sultan menitahkan supaya Nizar meletakan jawatan sebagai Menteri Besar selepas menemu bual kesemua 28 wakil BN dan 3 calon Bebas yang menyatakan sokongan mereka kepada BN. ("Ref The Sun 5 February 2009)

Perkara ini telah menyebabkan penyokong Pakatan Rakyat Perak bangun menyatakan hasrat tidak setuju atau dalam istilah istana "mohon sembah derhaka", dan atas krisis Perak tersebut dan mula menuntut diadakan semula pilihanraya negeri Perak[7] dan mendakwa Nizar masih sah sebagai Menteri Besar Perak, perkara ini turut disokong tokoh UMNO, YM Tengku Razali Hamzah dan Pakatan Rakyat menganggap ini adalah konspirasi UMNO untuk merampas kuasa secara haram dengan menggunakan institusi raja. Pandangan untuk memberi hak kepada rakyat turut disokong Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM .

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar yang berlangsung di Istana Iskandariah tetap diadakan walaupun dipertikai oleh Pakatan rakyat sebagai bercanggah dengan perundangan.

Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir dan exco-exconya[9] juga sedang menghadapi tindakan Jawatankuasa Khas Hak Dan Kebebasan DUN, kerana dituduh menghina Dewan Undangan Negeri Perak dengan mengetepikan DUN. Beliau kini bersama 6 orang exconya telah digantung sehingga 18 bulan bermula 19 Februari 2009 [10] Hal ini dipertikai oleh sesetengah peguam sebagai diluar bidang kuasa tanpa pengesahan ahli exco. [11]

Dalam masa yang sama Nizar telah menfailkan pengistiharan dari Mahkamah Tinggi (Kuasa-kuasa Khas) di Kuala Lumpur pada 14 Februari 2009 untuk menentukan kedudukan sebenar dan mengembalikan hak kepada Pakatan Rakyat Perak. Mahkamah Tinggi kemudiannya memutuskan bahawa Nizar merupakan Menteri Besar yang sah, dan Nizar akhirnya melaporkan diri untuk bertugas selaku Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, jawatan beliau sekali lagi batal apabila hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali meluluskan penangguhan pelaksanaan keputusan kepada Zambry, sekaligus sini menetapkan 21 Mei bagi mendengar rayuan Zambry dan permohonan Nizar.Pada 22 Mei, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar hujah-hujah mereka memutuskan Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah, sekaligus membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Nizar, atas hujah bahawa "bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN."

Angkat sumpah ahli parlimen
Pada 15 jun 2009, Mohammad Nizar diarah keluar daripada Dewan Rakyat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana melanggar etika pakaian dengan memakai satu lilitan bertulis "Bubar DUN" Perak pada songkoknya. Beliau juga melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" (Perak) sebaik mengangkat sumpah. Beliau menjadi ahli parlimen Bukit Gantang selepas Pilihan raya kecil Bukit Gantang 2009.

Sumber:Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Friday, September 11, 2009

Biodata Bekas Presiden PAS : Ustaz Abu Bakar Al-Bakir (1907-1974) : Siri 1

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com |

Latar Belakang

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi.


Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan

Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol.

Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974.

Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya.

Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia.

Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir.

Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu.

MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR.

LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan.

Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu.

Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.

LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu.

Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat

Bersambung...

sumber : http://5tokoh.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...